SELAMATKAN HUTAN SIMPAN KUALA LANGAT UTARA

Malaysia di ambang kehilangan Hutan Simpan Kuala Langat Utara untuk projek pembangunan. Walaupun hutan ini merupakan tanah adat bagi Orang Asli dan sangat penting untuk ekosistem kita, proses perundangan untuk menyahwarta HSKLU sudah selesai sejak 12 Ogos 2021.TETAPI perjuangan kita belum selesai dan kita masih ada masa untuk melawan balik.Kita perlu pastikan mereka bertanggungjawab.
Kita hendaklah selamatkan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.


Apa itu Hutan Simpan Kuala Langat Utara?

Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) merupakan hutan paya gambut yang menempatkan pelbagai spesis flora dan fauna yang unik serta terancam seperti Meranti Bakau, Beruang Matahari Malaya, Tupai Terbang Terkecil (Selangor Pygmy Flying Squirrel) dan juga Ikan Laga Merah yang sangat jarang dijumpai. Ia juga merupakan tanah adat komuniti Orang Asli daripada suku kaum Temuan yang mempunyai sejarah budaya dan resam signifikan untuk komuniti tersebut yang telah menetap di situ selama lebih 150 tahun.Lebih-lebih lagi, hampir keseluruhan HSKLU adalah tanah gambut yang berperanan untuk mengawal perubahan iklim. Hal ini kerana tanah gambut bertindak sebagai medium penyimpanan karbon yang sangat bernilai. Hutan paya gambut menyumbang kepada pemuliharan biodiversiti dunia, meminimumkan risiko banjir serta membekalkan bekalan air yang bersih untuk diminum.HSKLU bukan hanya sebarang hutan.HSKLU merupakan hak milik suku kaum orang asli dan kekayaan biodiversitinya di Malaysia merupakan medium yang signifikan untuk mengawal impak darurat iklim yang kita hadapi sekarang.


Apa yang telah berlaku?

Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai oleh YAB Amirudin Shari telah mencadang untuk menyahwartakan 931 hektar HSKLU pada tahun 2020 bagi memberi laluan untuk projek pembangunan. Walaupun 45,000 bantahan telah dihantar kepada Jabatan Perhutanan, termasuk 130,000 petisyen atas talian; undian sebulat suara oleh ADUN negeri untuk menyokong Usul 26 (melindungi semua hutan simpan yang diwartakan di Selangor); dan beberapa amaran daripada komuniti Orang Asli, aktivis alam sekitar dan badan bukan kerajaan tempatan (NGO), MB Amirudin Shari masih teguh dengan pendirian cadangan dan tiada keinginan langsung untuk melindungi hutan simpan berkenaan.

Apa akan terjadi sekiranya HSKLU dinyahwarta?

Penyahwartaan HSKLU akan meninggalkan implikasi yang teruk terhadap iklim dan juga Orang Asli Temuan. HSKLU lazimnya merupakan tempat bagi amalan adat dan juga tempat pengebumian bagi kaum Temuan selama 150 tahun. Pembasmian kebudayaan setempat berkait rapat dengan perampasan tanah adat bagi suku kaum orang asli ini serta merupakan tindakan yang menafikan hak suku kaum Temuan ini untuk menggunakan tanah adat mereka. Spesis terancam yang tinggal di HSKLU akan terus diancam kepupusan dan ini boleh membawa kepada kemusnahan biodiversiti di Malaysia. Tambahan pula, penyahwartaan ini juga dijangka akan membebaskan 3.2 juta tan gas karbon dioksida sewaktu dunia berada dalam darurat iklim. Ini mencerminkan satu tindakan yang dangkal semata-mata untuk mengejar keuntungan dan kefahaman yang cetek tentang impak kemelut iklim yang sedang dihadapi. Malaysia tidak menepati janji mereka seperti yang termaktub dalam Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim (UNFCCC) dan juga Perjanjian Paris, selain itu Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD), pada peringkat negeri pula, Pelan Struktur Negeri Selangor dan juga pelan pembangunan Kuala Langat serta Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak-Hak Orang Asli (UNDRIP) sekiranya penyahwartaan diteruskan.


Apa yang terjadi sekarang?

Pada 12 Ogos, didedahkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor telah menyahwartakan 54% (536.7 h.a) daripada 931.17 h.a yang merangkumi HSKLU, dan tanah ini telah dipindah milik kepada syarikat swasta bernilai RM1.00 yang tiada rekod perkembangan demi pembangunan campuran.Suara orang awam dan juga komuniti kebajikan yang menetap di HSKLU sekali lagi tidak diendahkan bersama ketidaktelusan dan akauntabiliti dalam membuat keputusan untuk menyahwartakan hutan ini. Walau bagaimanapun, pada 2 September, dilaporkan bahawa MB Selangor akan menunda keputusan untuk menyahwarta sehingga semua isu berkenaan Orang Asli dan juga iklim yang dibangkitkan dapat diperjelaskan.Penundaan ini hanya bermaksud bahawa ‘kemusnahan hutan akan dijadualkan berlangsung pada tarikh yang lain’. Kita bukan menuntut penundaan, kita MENUNTUT supaya Kerajaan Selangor menarik semula penyahwartaan setiap kawasan di HSKLU.
Hutan dan juga sosioekonomi Orang Asli bukanlah bahan gadaian yang hanya menguntung sesetengah pihak, lebih-lebih lagi hutan yang mempunyai pelbagai kepentingan ekologi dan kebudayaan.